Sarawak tuntut peruntukan lebih besar daripada Kerajaan Persekutuan

Spread the love

KUCHING, 1 Dis: Sarawak memerlukan lebih lima peratus daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyatnya, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, tambahan peruntukan berkenaan yang dituntut itu merupakan hak Sarawak yang tidak boleh dinafikan.

“Peruntukan lebih banyak akan digunakan untuk merapatkan jurang pembangunan di antara Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.

“Pembangunan ini melibatkan pelbagai sektor, bukan sahaja untuk membangunkan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, pelabuhan dan sebagainya malah bagi pendidikan, kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan negeri berkata, Sarawak juga memerlukan peruntukan yang lebih besar untuk pembangunan estet perindustrian dan premis perniagaan.

“Kita juga mahu mempertingkatkan program pembangunan sosioekonomi serta program membasmi kemiskinan,”katanya.

Berkenaan dengan kerajaan baharu yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pula, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berharap agar tiada lagi projek di Sarawak akan dibatalkan.

Selain itu Awang Tengah turut menegaskan janji berkenaan dengan hak Sarawak harus ditunaikan.

“(Janji) seperti mengembalikan 50 peratus cukai yang dikutip dari Sarawak dan 20 peratus royalti minyak akan diberikan kepada kita, semua ini (masih) tidak dilaksanakan.

“Saya berharap agar Kerajaan Perpaduan ini akan mengambil iktibar daripada kerajaan Pakatan Harapan yang lepas,” tambahnya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.