GPS mahu empat tempat dalam kabinet untuk wakilnya kekal – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 1 Dis: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menuntut agar empat jawatan dalam kabinet baharu yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikekalkan kepada wakil mereka.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Anwar baru – baru ini.

“Berkemungkinan besar kita (GPS) akan mendapat empat kuota berkenaan namun keputusan akhir terserah kepada Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pengumuman kabinet baharu Kerajaan Persekutuan, Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, beliau masih belum mendapat berita mengenai perkara itu.

Ditanya sama ada wakil rakyat GPS akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) kelak, Abang Johari berkata, perkara itu berada di luar bidang kuasanya.

Sebelum ini, Anwar mengesahkan jawatan TPM akan diberikan kepada wakil Barisan Nasional (BN) dan GPS yang merupakan komponen kedua dan ketiga terbesar dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.