DUN Sarawak: Lantikan penjawat awam Sarawak berdasarkan merit 

Spread the love

KUCHING, 1 Dis: Sistem pengambilan dan pelantikan kakitangan Perkhidmatan Awam Sarawak dilaksanakan berdasarkan merit, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Katanya kelayakan, keupayaan dan kompetensi individu yang memohon diutamakan tanpa mengira faktor kuota, bangsa atau latar belakang.

“Selain itu, tadbir urus Perkhidmatan Awam Sarawak dalam sistem pemilihan, pembangunan dan kenaikan pangkat dilaksanakan dengan baik dan teratur.

“Bagaimanapun, kerajaan akan terus berusaha untuk menambah baik Perkhidmatan Awam Sarawak sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa,” katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata buat masa ini, Perkhidmatan Awam Sarawak dianggotai pegawai dari semua kaum dan bangsa termasuk etnik minoriti seperti Kajang, Mierek, Saban dan Tagal.

Katanya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri yang ditubuhkan di bawah Artikel 36 Perlembagaan Sarawak, merupakan suruhanjaya bebas mengurus dan memantau urusan pengambilan, kenaikan pangkat dan disiplin penjawat awam negeri.

Pada 24 Nov lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong Dato Sri Tiong King Sing dilaporkan berkata sistem pengambilan kakitangan awam Sarawak mestilah bebas daripada unsur perkauman bagi memastikan pencari kerja dilayan secara adil. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.