DUN Sarawak: Warga Hong Kong paling ramai mohon S-MM2H

Spread the love

KUCHING, 30 Nov: Warga Hong Kong merupakan pemohon tertinggi bagi Program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2h), kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, sejak penambahbaikan dilakukan lima negara telah memohon S-MM2h iaitu Hong Kong (58), Amerika Syarikat (AS) (54), United Kingdom (49), Singapura (38) dan Jepun (32).

“Sejak pelaksanaannya, sehingga tahun 2022, kita telah meluluskan 1,689 permohonan S-MM2h,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan hari ketujuh Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke- 19 hari ini.

Terdahulu Abdul Karim berkata,  program ini telah ditambahbaik menerusi beberapa keperluan baharu berkuatkuasa 1 September 2022.

Antara penambahbaikannya adalah termasuk pemohon secara mandatori perlu membuka akaun simpanan tetap dengan mana-mana bank tempatan di Sarawak berjumlah RM150,000 untuk individu, manakala RM300,000 untuk pasangan.

Sementara itu, penambahbaikkan kedua pula membabitkan tempoh minimum pemegang visa ini berada Sarawak di mana kini mereka dikehendaki menetap di Sarawak sekurang-kurangnya 30 hari setahun berbanding dengan 15 hari setahun sebelum ini.

Selain itu, antara keperluan lain yang ditambahbaik ialah pemohon S-MM2H juga dibenarkan bekerja atau terlibat dalam perniagaan sepanjang tempoh penyertaan program berkenaan, namun ia tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Pemohon juga hendaklah tergolong dalam golongan profesional serta telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Sarawak.

Untuk rekod, S-MM2H merupakan program di bawah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak bagi menarik warga asing yang menepati syarat-syarat yang ditetapkan untuk tinggal di Sarawak menerusi visa kemasukan Malaysia.

Program ini terbuka kepada semua warga negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.