DUN Sarawak: Kerajaan Sarawak setuju mengeluarkan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS)

Spread the love

KUCHING, 30 Nov: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk mengeluarkan dokumen sementara kepada individu atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan berumur 21 tahun ke bawah yang lahir di Sarawak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Fatimah menegaskan bahawa dokumen ini khusus untuk memudahkan pemegangnya memperoleh akses kepada pendidikan dan kesihatan di Sarawak, dan ia bukan dokumen kewarganegaraan Malaysia.

“Ia juga tidak memberi hak atau janji untuk pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada pemegangnya.

“Permohonan untuk DSITKS boleh dipohon terus di kementerian atau melalui Pejabat Daerah yang terdekat,”katanya kepada pemberita pada sidang media di Bilik Media Sarawak Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Bagi tujuan tersebut kata Fatimah, pemohon hendaklah memiliki sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak berstatus Warganegara Belum Ditentukan; dan telah memohon kewarganegaraan Malaysia di bawah Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan.

“Tempoh sah laku DSITKS adalah selama dua (2) tahun dari tarikh kelulusan permohonan.

“Permohonan perlanjutan boleh dilakukan sekiranya pemegang masih belum memperoleh kewarganegaraan,” katanya lagi.

Fatimah berkata DSITKS perlu dikembalikan ke Kementerian sebaik sahaja pemegang memperolehi kewarganegaraan dan kad pengenalan.

Dedah Fatimah lagi, sejak permohonan DSITKS dibuka pada 1 November 2022, Kementerian telah menerima sebanyak 60 permohonan.

Dalam pada itu, Fatimah turut memberitahu bahawa kerajaan negeri telah melaksanakan program jangkauan bersepadu oleh MPS bersama rakan strategik termasuk Pejabat Daerah, Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak dan Jabatan Imigresen Malaysia, Sarawak di CSSC Kuching, Abell Road pada 2 Disember, di Sepupok, Niah pada 8 Disember, di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada 10 Disember, dan di Destiny for Children Centre, Sibu pada 12 Disember.

Katanya tindakan proaktif tersebut adalah untuk mendekati lebih ramai kanak-kanak tanpa kerakyatan bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada pendidikan menjelang penggal baharu persekolahan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.