Kampung Budaya Sarawak ikon bidang kesenian dan budaya

Spread the love

KUCHING, 29 Nov: Kampung Budaya Sarawak telah menjadi ikon dalam menerajui bidang kesenian, budaya dan warisan Sarawak selama hampir tiga dekad.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata, beliau berbangga dengan kemampuan Kampung Budaya Sarawak yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif serta mendapat pengiktirafan yang tinggi.

“Syabas kepada Kampung Budaya Sarawak serta Abdull Hallem Consultant Services (pusat latihan) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran kerana membuktikan bahawa perkongsian pintar dapat menghasilkan manfaat untuk pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kali Kelima Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Kampung Budaya Sarawak 2022 di Panggung Budaya, Kampung Budaya Sarawak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi dan Pengurusan, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kamaruzaman Md Ali.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, beliau berharap agar majlis sedemikian dapat membuka minda masyarakat bandar dan luar bandar mengenai pelatih yang mengikuti program kemahiran.

“Ini boleh meningkatkan lagi kreativiti dan semangat daya saing,”katanya.

Sementara itu, para graduan menerima penganugerahan di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang dan tahap yang berbeza iaitu Sijil Kemahiran Tahap 2 dan Tahap 3 membabitkan bidang Tarian Tradisional, Muzik Tradisional, Produksi Audio serta Penyediaan dan Pembuatan Makanan.

Rata-rata graduan SLDN yang ditemui TVS meluahkan rasa gembira dan bangga dengan pencapaian mereka menamatkan kursus masing – masing.

Nur Amy Yana, 20, graduan SLDN dalam kursus Penyediaan dan Pembuatan Makanan berkata, peluang yang disediakan dapat memberi nilai tambah kepada dirinya.

Bagi Harrison Ahphan, 21, yang merupakan graduan SLDN dalam kursus Koordinasi Tarian Tradisional pula, segala cabaran dan rintangan yang ditempuhi sepanjang kursus telah menjadi kekuatan dan dorongan untuk mencapai cita-cita.

“Sebelum ini, saya tiada asas menari namun sejak menyertai kursus ini, saya mula mempelajari pelbagai jenis tarian,” katanya.

Dalam pada itu, tema majlis konvokesyen pada kali ini adalah Kemahiran Pemangkin Modal Insan melibatkan pelatih dari tahun 2020 hingga 2022 dan dihadiri seramai 115 orang manakala jumlah keseluruhan graduan adalah seramai 283 orang.

Semenjak penubuhan SLDN Kampung Budaya Sarawak pada 2013, seramai 1,176 pelatih telah berjaya menamatkan program di bawah SKM.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.