DUN Sarawak: RM30 juta bagi Insentif Pembayaran Balik Pinjaman PTPTN pada 2023

Spread the love

KUCHING, 29 Nov: Insentif Pembayaran Balik Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Yayasan Sarawak akan diteruskan pada tahun hadapan dengan peruntukan RM30 juta.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, sejak ia diperkenalkan pada 2019 sejumlah RM36.1 juta telah digunakan.

Menurutnya lagi, 11,095 graduan Sarawak telah memperolehi manfaat insentif berkenaan.

“Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang menyediakan insentif sedemikian,” katanya dalam sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Insentif yang menggunakan formula nisbah 30:30 itu adalah usaha kerajaan Sarawak membantu meringankan beban graduan Sarawak dalam membayar balik PTPTN.

Kerajaan negeri memberi subsidi 30 peratus daripada baki kepada graduan yang telah membayar sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pinjaman mereka.

Beliau memberi contoh, graduan yang meminjam RM10,000 mesti membayar balik sekurang-kurangnya RM3,000 bagi melayakkan mereka menyertai skim itu.

Setelah membayar 30 peratus, Yayasan Sarawak akan membayar 30 peratus atau RM2,100 lagi dari baki pinjaman iaitu RM7,000.

Dengan kaedah ini, baki yang perlu dijelaskan graduan ialah RM4,900. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.