DUN Sarawak: Harga tiket musim perayaan jangan bebankan rakyat

Spread the love

KUCHING, 29 Nov: Kerajaan Sarawak menggesa syarikat penerbangan agar menawarkan harga tiket masuk dan keluar yang berpatutan ke negeri ini pada musim perayaan akan datang.

Berhubung permintaan tersebut, menurut Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, pihaknya telah menulis surat kepada semua syarikat penerbangan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berhubung perkara itu.

“Ini bagi memastikan rakyat kita terutama pelajar dan mereka yang ingin melawat ahli keluarga serta sanak saudara pada musim perayaan di Sarawak atau di Semenanjung Malaysia tidak terbeban dengan harga tiket penerbangan yang tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata demikian ketika ucapan penggulungan Belanjawan Negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Sementara itu, Kim Shin berkata, bagi menangani isu harga tiket mahal yang sering menjadi rungutan juga, pihaknya turut menggalakkan bakal pengembara supaya menempah tiket penerbangan lebih awal untuk menikmati harga diskaun.

Berhubung pergerakan penumpang di semua lapangan terbang di Sarawak, beliau memberitahu, sehingga September tahun ini, sejumlah 88,979 pesawat dan 6,013,068 pergerakan penumpang direkodkan.

“Kebanyakan penerbangan dari Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu dan Labuan,” katanya.

Kim Shin memberitahu, pecahan data berkenaan juga melibatkan 35 penerbangan antarabangsa dari Singapura dan Brunei.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menerima kekerapan paling banyak iaitu sebanyak 27 penerbangan antarabangsa setiap minggu dan diikuti oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dengan lapan penerbangan setiap minggu,”katanya.

Menurut beliau, perkhidmatan berkenaan disediakan oleh AirAsia Berhad, Malaysia Airlines Berhad, Scoot Tigerair Ltd dan Royal Brunei Airlines.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, Sibu akan mempunyai penerbangan terus ke Singapura apabila AirAsia melancarkan penerbangan sulungnya bermula pada 16 Disember depan yang merangkumi empat penerbangan seminggu.

“Ini akan menjadi kemudahan yang baik untuk pelancong dan perniagaan dan seterusnya merangsang aktiviti ekonomi di Sibu,” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.