Budak lelaki maut dihempap tiang elektrik

Spread the love

BUKIT KAYU HITAM, 29 Nov: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut selepas dihempap beberapa tiang elektrik konkrit yang disusun di tepi jalan di Kampung Belukar, Changlun, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang tadi, dua lagi rakan mangsa yang berusia 11 tahun yang turut dihempap objek itu cedera parah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya difahamkan kumpulan kanak-kanak itu sedang bermain di kawasan berdekatan sebelum tiang elektrik menghempap mereka.

Ujarnya, semasa pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam tiba di lokasi, ketiga-tiga mangsa telah dibawa keluar oleh orang awam menggunakan jengkaut.

“Hanya terdapat dua mangsa di lokasi iaitu seorang yang meninggal dunia dan seorang lagi tidak sedarkan diri.

“Seorang lagi telah dibawa ke rumah terlebih dahulu sebelum dihantar ke Hospital Jitra,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala.

“Dua lagi mangsa masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian paha dan pinggang,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.