Syarikat penerbangan milik Sarawak idea baik – Madeline Berma

Spread the love

KUCHING, 28 Nov: Perancangan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri merupakan idea yang baik, kata Profesor Dato Dr Madeline Berma.

Namun beliau yang juga Felow di Akademi Sains Malaysia berkata, aspek kelestarian perniagaan juga perlu diberi perhatian.

Katanya, ini bagi memastikan syarikat penerbangan itu kelak dapat beroperasi untuk tempoh yang panjang.

“Model perniagaan yang akan digunakan juga perlu ditetapkan termasuk pemberian subsidi kerana sudah pasti ada pengguna yang memerlukannya.

“Saya juga berharap agar apabila ia beroperasi kelak, kosnya tidak ditanggung oleh kerajaan kerana wang itu (jika ditanggung oleh kerajaan) sebenarnya merupakan hasil kutipan cukai daripada rakyat,”katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan penubuhan syarikat penerbangan oleh Kerajaan Sarawak iaitu Boutique Airlines.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam menegaskan syarikat berkenaan tidak akan memfokuskan keuntungan semata-mata sebaliknya juga bertujuan untuk memudahkan urusan para pelabur serta pelancong ke negeri ini.

Mengenai isu pemberian subsidi bersasar yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Madeline berkata, penerima bagi subsidi bersasar perlu dikenal pasti dengan lebih teliti.

“Ini agar tidak berlakunya ralat terutamanya ketika memberikan bantuan kepada rakyat yang lebih memerlukan,”katanya.

Perdana Menteri ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 berkata, pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dapat menikmatinya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.