‘Boutique Airlines’ mudahkan urusan pelabur, pelancong ke Sarawak

Spread the love

KUCHING, 28 Nov: Syarikat penerbangan yang dirancang Sarawak iaitu ‘Boutique Airlines’ tidak akan mengaut keuntungan semata-mata tetapi akan memudahkan urusan para pelabur serta pelancong ke negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penerbangan tersebut akan diuruskan sendiri oleh Sarawak tanpa mengikut Malaysia Airlines atau Air Asia.

“Kita ada model atau pendekatan sendiri bagaimana menguruskan ‘Boutique Airlines’ ini, kalau syarikat lain dia mahu keuntungan tapi Sarawak tidak, kita hanya mahu menggalakkan pelabur serta pelancong untuk datang ke Sarawak ini menggunakan penerbangan enam jam.

“Penerbangan ini melibatkan penerbangan dari Hong Kong, Bali, Singapura, Bangkok, Jepun dan India,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Kuching, malam tadi.

Sebelum ini, Abang Johari memaklumkan Kerajaan Sarawak merancang untuk menubuhkan ‘Boutique Airlines’ di bawah Syarikat Hornbill Skyways yang bertujuan membantu menjana pendapatan negeri dengan mengeksport produk pertanian serta memenuhi permintaan untuk perjalanan individu dan pelancongan.

Dengan adanya penerbangan ini kata Abang Johari, ia sekali gus akan meningkatkan taraf ekonomi Sarawak.

“Bagi saya ia adalah salah satu daripada infrastruktur yang harus kita bina serupa dengan jalan raya. Jalan raya ini kita tidak bercakap mengenai pulangan yang ketara tetapi kita bercakap manfaat yang kita dapat dari struktur yang kita bina menerusi laluan,” katanya.-TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.