Sarawak sasar hasil pendapatan negeri RM11.035 bilion tahun hadapan

Spread the love

KUCHING, 26 Nov: Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri sehingga RM11.035 bilion pada tahun hadapan berdasarkan perolehan hasil yang memberangsangkan di capai pada tahun ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pada tahun ini hasil negeri dianggarkan berjumlah RM10.159 bilion iaitu yang terbesar setakat ini dalam sejarah ekonomi Sarawak.

“Berdasarkan pencapaian ini kita yakin hasil pendapatan negeri terus dapat ditingkatkan pada tahun hadapan, ” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulangtahun Ke-70 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) dan Majlis Penyampaian Anugerah Usahawan Sarawak (EOYS) di Kuching malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohamad Naroden Majais.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menyokong dan meningkatkan usaha dalam mempromosikan bidang keusahawanan serta pelaburan di kalangan rakyat Sarawak khususnya yang berminat untuk membangun dan melaksanakan projek mereka.

“Kunci untuk merealisasikan Sarawak sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030 adalah menerusi penglibatan perniagaan dan keusahawan iaitu pelaburan di negeri ini.

“Jadi, dalam hal ini, usahawan perlu memainkan peranan penting dalam menyelaraskan hubungan antara komuniti perniagaan dengan Kerajaan Negeri, sambil kita bekerjasama dalam menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata, sektor swasta juga mesti terlibat sepenuhnya dalam memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.