Sarawak fokus tangkis cabaran perpaduan menjelang 2023

Spread the love

KUCHING, 26 Nov: Sarawak berpegang teguh kepada perjuangan mengekalkan keharmonian dalam rakyatnya  yang berbilang kaum, etnik dan agama.

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian menyeru rakyat Sarawak memikul tanggungjawab serta memainkan peranan masing-masing dalam memelihara perpaduan yang telah wujud sekian lama di negeri ini.

Beliau mengingatkan perkara ini ekoran negara mendepani isu perpecahan perpaduan yang semakin ketara sejak pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Situasi (perpecahan) ini merupakan hasil yang paling teruk sejak PRU-15 kerana kita dapat lihat konflik serta perpecahan yang terlalu ekstrim,” ujarnya.

Mengambarkan parlimen tergantung beberapa hari selepas PRU-15 sebagai keadaaan yang menakutkan, Dr Sim juga bersyukur di sebalik rentetan peristiwa yang disaksikan oleh rakyat telahpun berakhir.

“Kita bertuah kerana apa yang berlaku pagi semalam (Khamis) membawa hikmah kepada beberapa perkara lain seperti Yang di-Pertuan Agong mengumumkan Perdana Menteri ke-10 Malaysia, adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau menekankan kerajaan Sarawak kini ingin memperjuangkan kuasa autonomi kebebasan agama di negeri ini demi mengekalkan keharmonian rakyatnya

“Bagi Sarawak, kita perlu bertahan sehingga ke penghujung empat perkara, iaitu perihal autonomi termasuk kuasa autonomi penjagaan kesihatan dan autonomi pendidikan,” jelasnya ketika berucap di Rumah Terbuka Deepavali 2022 anjuran bersama Unit Untuk Agama Lain (UNIFOR), Jabatan Premier Sarawak, International Society For Krishna Consiousness (ISKCON) dan Malaysian Hindu Sangam Sarawak State Council, pada Jumaat.

Hasrat tersebut tegas Dr Sim berlandaskan kenyataan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang pernah menyebut bahawa perkara autonomi kebebasan beragama akan dibincangkan ke peringkat seterusnya bersama kerajaan Persekutuan.

“Inilah yang akan kita perjuangkan,” tegasnya.

Turut hadir ialah Pengarah UNIFOR, Richard Lon, Pengerusi International Society For Krishna Consiousness (ISKCON), Prabhu Kripa, Pengerusi Persatuan Gereja Sarawak, Archbishop Simon Poh,  Presiden Kuil Sikh Kuching, Dr Kalwinder Singh Khaira serta ketua-ketua institut agama lain. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.