Kes samun, rompak bersenjata di Miri selesai, semua suspek diberkas

Spread the love

MIRI, 26 Nov: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri telah berjaya menangkap suspek-suspek yang disyaki terlibat dalam kes samun dan rompakan bersenjata yang berlaku pada 8 dan 14 September di kawasan Miri dan Bekenu pada 16 November lepas.

Dikatakan, mangsa sebelum ini telah mengalami kerugian ratusan ribu ringgit apabila penjenayah tersebut berjaya melarikan sejumlah wang tunai dan barang-barang berharga milik mangsa.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihak Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) IPD Miri telah melancarkan operasi mengesan penjenayah tersebut sehingga mendapat satu maklumat orang awam mengenai sekumpulan lelaki yang mencurigakan di sebuah rumah kawasan Riam-Bypass Miri.

“Ekoran daripada itu, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) IPD Miri telah melancarkan operasi berdasarkan maklumat orang awam, kita telah membuat tangkapan. Tangkapan yang pertama iaitu pada 16 November di sebuah rumah di kawasan Riam-Bypass Miri.

“Dalam serbuan tangkapan itu, pihak polis telah berjaya menangkap seramai tiga individu iaitu dua warga asing dan seorang warga tempatan. Hasil siasatan kita teruskan tangkapan dua lagi warga asing di daerah Serian. Pihak polis telah menjalankan soal siasat dan telah merampas barang-barang kes dan juga harta-harta yang disamun dan dirompak,” katanya ketika mengadakan  sidang media pagi tadi.

Hasil daripada intipan dan pemantauan yang dijalankan selama beberapa hari di lokasi diberikan, BSJD Miri telah melancarkan OP Rantau untuk mengesan dan menangkap suspek yang disyaki terlibat dalam kes jenayah sebelum ini pada jam 3 pagi.

Lima orang individu yang turut menghuni rumah tersebut juga ditahan bagi membantu siasatan.

Susulan daripada penangkapan tersebut, BSJD Miri berjaya menjumpai barang-barang berharga yang disyaki dilarikan suspek di dalam rompakan sebelum ini serta kelengkapan pecah rumah dan senjata.

Dua suspek warga asing yang dipercayai cuba melarikan diri, ditahan di Stesen Bas Serian pada awal pagi 16 November juga ditahan dan didapati terdapat barangan rompakan yang dibawa oleh suspek tersebut.

Tambahnya juga, modus operandi kumpulan ini menyasarkan kawasan rumah terpencil dan mengikat tangan mangsa dengan tali sebelum membawa lari barang berharga milik mangsa.

“Jadi modus operandi kumpulan ini, terdiri daripada empat warga asing dan seorang warga tempatan, iaitu memasuki atau membuat kejadian samun ini dengan masuk rumah mangsa. Kemudian, mengikat tangan mangsa dengan tali dan juga bersenjatakan parang.

“Sasaran bagi kumpulan ini ialah kawasan rumah terpencil dan melakukan samun pada awal pagi. Jadi untuk itu, semua suspek seramai lima orang ini masih lagi ditahan reman untuk siasatan lanjut. Dengan itu, pihak polis telah menyelesaikan kes samun yang berlaku di Miri dan Bekenu,” katanya lagi.

Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari untuk tujuan siasatan dan mereka akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas rompakan berkumpulan dan rompakan bersenjata, dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas jenayah pecah rumah.

Kerjasama erat antara masyarakat dan pihak polis amat membantu, malah efektif apabila terbukti kadar jenayah di daerah Miri telah mencatatkan penurunan kes sebanyak 50 peratus dengan 245 kes dilaporkan bagi Januari sehingga Oktober 2022 berbanding 486 kes dilaporkan pada tahun 2021 bagi tempoh yang sama.

Seramai 31 pegawai yang terlibat di dalam kes tersebut juga telah diberi sijil penghargaan atas kejayaan penangkapan suspek. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.