DUN Sabah: Kerjasama GRS-BN Sabah berjalan dengan baik

Spread the love

KOTA KINABALU, 26 Nov: Hubungan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Negeri berjalan dengan baik, tegas Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Jumaat.

“Kami sepakat memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi Sabah dan memacu pembangunan negeri,” kata Hajiji kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Sabah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, semalam.

Sebaik Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah, membentangkan belanjawan bertemakan ‘Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera’ itu, Bung Moktar bingkas bangun untuk menyokong usul belanjawan berkenaan.

Sementara itu, ditanya tentang kenyataan beliau bahawa GRS mengisytihar ‘perang’ kerana menyokong calon Perdana Menteri tanpa perbincangan dengan BN Sabah, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, ia hanyalah luahan peribadi dan mengakui sedikit emosi ketika itu.

“Politik memang begitu. Kadangkala anda perlu menempuh sesuatu,” katanya sambil menegaskan tiada perselisihan berlaku antara GRS dan BN Sabah.

Sebelum ini, Bung Moktar dilaporkan berkata, tindakan GRS menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri melanggar perjanjian kerjasama dua parti itu dan mendakwa ia tindakan isytihar ‘perang’ kepada BN Sabah.

GRS dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menjalin kerjasama dengan BN yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi mentadbir negeri itu.

Bung Moktar berkata, pemimpin BN Sabah sentiasa berjiwa besar demi menjamin keharmonian serta kestabilan politik di negeri itu. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.