Penyokong diingatkan tidak bawa, kibar bendera politik pada final Piala Malaysia

Spread the love

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Penyokong dilarang membawa masuk dan mengibar bendera berunsurkan politik pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, malam esok.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ACP (B) Md Dali Wahid berkata tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana penyokong yang didapati berbuat demikian selain menegaskan aksi final di stadium bukanlah tempat untuk meraikan atau menunjuk rasa tidak puas hati mengenai perkara berkaitan politik.

“Mungkin kita masih terawang-awang dan teringatkan apa yang berlaku dalam negara ketika ini. Bendera-bendera melibatkan politik mungkin boleh buat orang di luar rasa tidak puas hati dan sebagainya.

“Jadi, jangan bawa masuk ke dalam stadium (apa-apa barangan) yang boleh cetuskan provokasi dan menggugat keamanan negara,” katanya pada sidang media keselamatan bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin menjangkakan 80,000 penyokong membanjiri Stadium Nasional sebaik pintu masuk dibuka 5 petang dan untuk itu, persiapan rapi telah dilakukan polis bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki pekarangan stadium,” katanya.

Selain itu, beliau berkata terdapat beberapa penutupan jalan di sekitar Stadium Nasional sebelum dan selepas perlawanan, antaranya sepanjang Jalan Barat bermula dari persimpangan Taman Teknologi Malaysia (TPM) hingga Persimpangan Merah Caga.

“Penyokong dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam dan bagi yang memandu kenderaan sendiri, dinasihatkan supaya mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur sepanjang pemanduan,” katanya.

Selangor adalah pasukan paling berjaya dalam saingan Piala Malaysia dengan merekodkan 33 kali kejuaraan sementara JDT pula muncul juara sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013.

Pada edisi lepas, JDT kempunan merangkul kejuaraan selepas tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di pentas final. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.