Kerajaan perpaduan perlu tangani segera isu ekonomi – EMIR Research

Spread the love

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim harus segera menangani isu ekonomi negara terutamanya dengan cabaran ekonomi semasa dan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata isu peningkatan kos sara hidup, hala tuju pendidikan negara serta jaminan sektor pekerjaan perlu terus diberikan penekanan mendalam bagi memastikan bebanan rakyat dapat dikurangkan.

“Kos sara hidup harus segera diselesaikan, kerana kita boleh lihat kadar inflasi meningkat, namun gaji tidak naik, ringgit jatuh mengakibatkan barangan diimport naik mendadak, dan ini memberi kesan kepada pendapatan boleh guna,” katanya ketika ditemu bual pada program LIVE Buletin Bernama Khas, malam tadi.

Rais Hussin menegaskan kerajaan harus melaksanakan pembaharuan struktur yang akan membantu memulihkan keyakinan pelabur dan pada masa yang sama memastikan ekonomi negara berkembang pada kadar yang lebih baik.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Bursa Malaysia ditutup tinggi susulan situasi politik reda, KLCI naik 4.04 peratus
  2. 2. Bursa Malaysia tinggi berikutan sentimen lebih baik

Menyentuh prestasi pasaran saham dan ringgit yang mencatatkan peningkatan pada Khamis, beliau berkata, ia merupakan petanda awal yang positif, namun Malaysia memerlukan polisi pelaburan yang konsisten untuk menarik pelabur datang ke negara ini.

“Jika tidak, orang tidak mahu datang ke Malaysia dan melabur,” katanya.

Mengambil contoh isu polisi kabotaj, beliau menekankan Malaysia kehilangan berbilion ringgit disebabkan oleh perubahan polisi berikutan pertukaran kerajaan.

“Kita perlu merangka perancangan yang menyeluruh dan polisi tidak boleh berubah sekiranya kerajaan berubah, seperti yang terjadi sebelum ini,” katanya sambil menambah perancangan tersebut harus mengambil kira faktor ekonomi dalaman dan luaran.

Mengenai isu sekuriti makanan, Rais Hussin berkata kadar sekuriti makanan di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia iaitu pada dua peratus.

“Kita mengimport makanan bernilai hampir RM65 juta dan sekiranya kita berjaya mengaktifkan semula aktiviti agrikultur dan menggunakan dengan set kemahiran Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR), ia tidak lagi digelar aktiviti yang kotor, malahan peluang pekerjaan dapat ditingkatkan, dan pada masa yang sama kadar kebergantungan kepada makanan import boleh dikurangkan,” katanya.

Ringgit ditutup tinggi semalam, melonjak 1.8 peratus ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan berbanding dolar AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu naik 815 mata peratusan kepada 4.4910/5000 berbanding dolar AS daripada paras 4.5725/5775 pada Rabu.

Manakala Bursa Malaysia pula ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan dengan indeks utama meningkat sebanyak 4.04 peratus.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 58.38 mata kepada 1,501.88 berbanding 1,443.50 pada Rabu. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.