Kabinet baharu mesti menjaga rakyat dan memulihkan ekonomi – Abdullah

Spread the love

KUCHING, 25 Nov: Pemilihan anggota kabinet dalam kerajaan perpaduan tidak semestinya hanya untuk memenuhi kuota permintaan parti yang menyokong, kata Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.

Mereka yang dipilih mesti benar-benar berkaliber dan cekap mengurus kementerian, katanya sambil menambah, seseorang menteri juga perlu berupaya menerap budaya tadbir urus terbaik serta memperkenalkan polisi-polisi konstruktif untuk pembangunan negara.

“Kebajikan rakyat serta maruah negara harus diutamakan, bukan kepentingan kedudukan individu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kabinet kerajaan perpaduan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Abdullah juga yakin semua warganegara inginkan sebuah kerajaan yang mampu mentadbir dan mengurus negara dengan telus, berintegriti dan cekap, terutama dalam usaha pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Ahli Parlimen Tambun, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada Khamis.

Kerajaan perpaduan dianggotai PH, Barisan Nasional (BN) dan GPS. Keputusan PRU-15 pada 19 November lepas menyaksikan tidak ada satu parti dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Dalam perkembangan sama, Abdullah ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri Sarawak berkata GPS mahu kerajaan Persekutuan yang stabil dan memastikan barisan kabinet yang dilantik mampu menghadapi suasana ekonomi yang dijangka agak mencabar.

Beliau juga berharap pemimpin-pemimpin parti politik akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan ekoran tindakan sedemikian akan mencalar nama baik parti.

“Ahli-ahli politik termasuk saya sendiri perlu sentiasa mengamalkan budaya politik secara berhemah. Kita harus mengambil iktibar dalam segala apa yang terjadi dalam tempoh beberapa hari ini sejak keputusan PRU-15,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Telian Royston Valentine berkata jawatan Timbalan Perdana Menteri wajar diberi kepada Sarawak kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan parti memenangi kerusi Parlimen paling banyak di Sarawak dan Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Keputusan PRU-15 amat jelas menunjukan sokongan padu suara rakyat Sarawak kepada GPS,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.