Hubungan perdagangan Sarawak-Indonesia diperkukuh

Spread the love

KUCHING, 25 Nov: Kerajaan Sarawak dan Indonesia komited memperkukuh hubungan kerjasama perdagangan terutama menerusi aktiviti ekonomi dan perusahaan.

Inisiatif ini didedahkan oleh wakil rombongan Ikatan Saudagar Muslim Se-Indonesia Majelis Pengurus Pusat (ISMI-PUSAT) kepada kerajaan Sarawak pada kunjungan hormat terhadap Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini, hari ini.

Bercakap mengenai hasrat tersebut, Awang Tengah mengakui jalinan kerjasama kedua-dua pihak harus dipertingkatkan lagi bukan sahaja dalam bidang besar namun dari segi perusahaan kecil dan sederhana juga harus diteliti.

“Kita telah membincangkan banyak perkara bagi meneruskan hubungan yang baik antara kerajaan Indonesia, Malaysia dan lebih-lebih lagi Sarawak.

“Antara lain, kami juga membincangkan agar kedua-dua pihak kerajaan dapat bekerjasama rapat merangkumi berbagai sektor yang mana saya juga memaklumkan kepada pihak ISMI-PUSAT perancangan Sarawak untuk mendirikan satu Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Pontianak, Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat dari ISMI-PUSAT, di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

“Kedua-dua belah pihak akan membincangkan lagi dengan lebih spesifik menerusi perjumpaan-perjumpaan dengan Bumiputera Chamber of Commerce dan pertubuhan-pertubuhan perdagangan perusahaan kita di Sarawak ini,” jelasnya.

Pada 21 November lalu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan kerajaan pimpinannya bercadang untuk memperuntukkan sejumlah RM10 juta kepada Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS), serta penubuhan pejabat yang sama di Brunei dan Pontianak di Indonesia pada tahun depan.

Menurut beliau, penubuhan pejabat itu merupakan antara inisiatif yang berada di bawah teras strategik Belanjawan Negeri tahun 2023 untuk mentransformasikan Sarawak menjadi sebuah ekonomi yang kompetitif. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.