DUN Sarawak: RM 2.1 juta bantu pesakit buah pinggang seluruh negeri

Spread the love

KUCHING, 25 Nov: Kerajaan Sarawak tahun ini membelanjakan RM2.1 juta untuk membantu seramai 111 orang pesakit buah pinggang di seluruh negeri menerusi Elaun Rawatan Hemodialisis bagi Golongan B40 dan M40.

Inisiatif ini kata Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Mohammad Razi Sitam turut merangkumi 21 orang pesakit di Sibu.

“Sejak bantuan ini diperkenalkan pada tahun 2020 sehingga 31 Oktober tahun ini, di Sibu sahaja kita ada seramai 21 orang pesakit buah pinggang yang telah dibantu dengan jumlah perbelanjaan setakat ini RM372,792,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Dato Sri Tiong King Sing pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Khamis.

Terkini bagi tahun 2022, kata Mohammad Razi, terdapat lapan penerima bantuan tersebut telah diluluskan pelanjutan berjumlah RM199,460.

“Pesakit yang telah diluluskan bantuan sedang menjalani rawatan dialisis di pusat rawatan di Yayasan St. John Ambulance; Rajang Medical Centre; dan Sibu Kidney Foundation,” ujarnya.

Menurut beliau peruntukan yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) itu akan disalurkan kepada pusat badan bukan kerajaan (NGO) atau swasta.

Berbalik kepada kriteria kelayakan pemohon kata beliau penilaian berdasarkan; tiada had umur, penerima mesti orang Sarawak dengan status ‘K’ pada kad pengenalan, bukan penjawat awam, bukan pesara awam dan bukan pencarum PERKESO dan pesakit baharu yang telah disahkan Pakar Nefrologi Kerajaan untuk mendapatkan rawatan klinikal.

“Penerima juga merupakan mereka yang tergolong dalam kriteria B40 dan M40 dengan pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,020; tidak mendapat subsidi rawatan dan bantuan pengangkutan daripada mana-mana agensi kerajaan, swasta dan NGO serta penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan yang memerlukan bantuan sokongan seperti bantuan pengangkutan dan sebagainya,” jelasnya.

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.