DUN Sarawak: Dana RM11.2 juta untuk skim bantuan kebajikan di Bahagian Serian

Spread the love

KUCHING, 25 Nov: Kerajaan Sarawak menyediakan dana skim bantuan kebajikan berjumlah RM11. 2 juta untuk dinikmati oleh 2,988 penerima di Bahagian Serian.

Mendahului kategori penerima, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Mohammad Razi Sitam mendedahkan seramai 1,124 orang warga emas di daerah Serian menerima skim Bantuan Warga Emas dengan kadar RM500 yang disediakan oleh kerajaan Sarawak.

Menurutnya skim bantuan ini melibatkan perbelanjaan RM5,522,000 iaitu merupakan antara lapan jenis skim bantuan kebajikan yang diterima oleh rakyat di daerah Serian sejak Januari hingga Oktober lalu.

“Selain itu skim yang lain adalah Skim Bantuan Kanak-Kanak dengan kadar bantuan daripada RM150 sehingga RM1,000 dengan bilangan kes 468 orang, perbelanjaan RM1,359,350,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Khamis.

Mohd Razi mendedahkan kerajaan Sarawak juga menambah nilai bantuan kanak-kanak kepada RM50 setiap bantuan menjadikan perbelanjaan (tambah nilai) berjumlah RM229,350.

Pada masa sama, beliau mendedahkan sejumlah 751 penerima dalam kalangan warga Serian turut menikmati Skim Bantuan Am masing-masing dengan kadar bantuan RM200 ke RM300.

Manakala katanya, bagi kategori Skim Bantuan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) di daerah itu diterima oleh seramai 80 orang dengan kadar bantuan yang ditetapkan RM450.

“Skim bantuan yang kelima iaitu Bantuan Penjagaan OKU atau pesakit kronik terlantar dengan kadar bantuan yang ditetapkan ialah RM500 merangkumi sejumlah 104 penerima,” ujarnya.

Tidak ketinggalan kata Mohd Razi Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja turut meringankan beban seramai 461 penerima dengan kadar bantuan RM300 setiap seorang.

Dana RM11.2 juta untuk skim bantuan kebajikan di Serian

“Keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap mereka ini menyaksikan kadar bantuan ditambah nilai iaitu RM50 setiap seorang menjadikan perbelanjaan tambahan adalah RM227,800,” jelasnya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.