TERKINI: Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10

Spread the love

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, jelas Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamdsuddin berkata, keputusan itu dicapai pada sesi Perbincangan Khas Seri Paduka bersama Raja-Raja Melayu yang berlangsung pagi ini.

“Pada sesi berkenaan, Seri Paduka telah berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu proses pelantikan Perdana Menteri baharu susulan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November lepas.

“Perbincangan itu bertujuan bagi mendapatkan pandangan Duli – Duli Yang Maha Mulia Raja – Raja Melayu untuk membolehkan Baginda membuat keputusan terbaik demi kepentingan rakyat dan negara,”katanya menerusi kenyataan media sebentar tadi.

Kata Ahmad Fadil, proses berkenaan bagi membolehkan Seri Paduka melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli- ahli dewan sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) (a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka telah memberi pekenan untuk melantik Ahli Parlimen Tambun,Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda,”katanya.

Beliau berkata, proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia  serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang akan berlangsung pada pukul 5 petang ini di Istana Negara. -TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.