Semua pihak diminta terima baik proses demokrasi, peralihan kepimpinan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Semua pihak diminta supaya menerima baik proses demokrasi di negara ini yang melibatkan peralihan kepimpinan kerajaan, tanpa perlu mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

Dalam satu kenyataan hari ini susulan pelantikan Perdana Menteri yang baharu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab melakukan sebarang provokasi atau membangkitkan isu perkauman dan agama.

“Orang ramai juga diminta tidak menganjurkan sebarang perhimpunan atau perarakan berkaitan politik di tempat terbuka dalam masa terdekat demi keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna dan pemilik akaun media sosial untuk menjaga adab serta tingkah laku dalam mengeluarkan paparan yang boleh mencetuskan kegusaran kepada masyarakat.

Acryl Sani turut memberi komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam kekal terjamin di bawah pentadbiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“PDRM akan terus kekal komited dalam memikul amanah yang dipertanggungjawab dalam menjaga keselamatan negara dan menjunjung kedaulatan undang-undang demi kesejahteraan masyarakat serta negara,” katanya.

Acryl Sani turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Tambun itu yang dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Anwar, 75, hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada 5.06 petang. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.