Perbincangan Khas Agong dengan Raja – raja Melayu tamat

Spread the love

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Perbincangan Khas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang bermula pagi tadi berakhir sebentar tadi.

Ini susulan kenderaan rasmi membawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilihat berangkat meninggalkan Istana Negara pada pukul 11.59 pagi tadi.

Keberangkatan pulang baginda kemudian disusuli dengan kenderaan membawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kira – kira seminit kemudian.

Setakat ini, enam daripada lapan Raja-raja Melayu masih lagi berada di Istana Negara.

Semalam, Istana Negara memaklumkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan Perbincangan Khas bersama Raja-Raja Melayu hari ini bagi merungkai kemelut pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri Ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin semalam berkata, perbincangan itu bertujuan untuk membolehkan Seri Paduka mendapatkan pandangan Raja-raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri.

Parlimen Malaysia kini dalam keadaan tergantung buat kali pertama apabila tiada gabungan politik yang menang majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

PH menang 82 kerusi, diikuti PN sebanyak 73 kerusi manakala BN hanya menang 30 kerusi. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.