Pembentukan kerajaan perpaduan, GPS akur titah Agong – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 24 Nov: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekali lagi menegaskan mereka akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembentukan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang diminta mengulas mengenai lantikan anggota kabinet kerajaan perpaduan berkata:

“Selalunya pembentukan kerajaan adalah prerogatif Perdana Menteri. Sudah tentu kerajaan baharu mesti mengambil kira nasihat Agong.”

Menurutnya, apa jua tindakan GPS adalah untuk mengatasi kemelut politik negara selepas tidak ada parti yang mencapai majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November lepas.

“GPS akur dengan titah baginda mengikut kuasa yang ada pada baginda di bawah Perlembagaan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pimpinan tertinggi GPS di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak, Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, perlu diingat bahawa GPS adalah parti yang meraih kemenangan besar pada PRU-15.

“Kita akan tengok. Anda mesti ingat kita adalah blok besar dengan Ahli Parlimen 23 orang dan anda bandingkan dengan parti lain,” katanya.

Anwar pada 23 Oktober dipetik menerusi laporan Bernama berkata, PH akan melantik dua Timbalan Perdana Menteri jika menang PRU-15.

Cadangan itu merangkumi seorang Timbalan Perdana Menteri masing-masing dari Semenanjung dan Sabah, Sarawak.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara hari ini.

PH memenangi 82 kerusi pada PRU-15.

Agong dalam membuat keputusan melantik Perdana Menteri, telah menitahkan Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghadap pada Selasa.

Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan GPS pula dititahkan menghadap pada Rabu.

GPS memenangi 23 daripada 31 kerusi di Sarawak. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.