GPS terima permohonan maaf DAP dengan hati terbuka

Spread the love

KUCHING, 24 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima permohonan maaf daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan hati terbuka dan jiwa yang besar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke telah memohon maaf secara bersemuka ketika melakukan kunjungan hormat ke kediamannya di sini pada pagi Khamis.

Selain itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng turut menyatakan permohonan maaf menerusi media sosialnya.

“Permohonan maaf secara terbuka itu telah pun dibuat, untuk apa-apa kenyataan yang telah menyinggung perasaan kerajaan serta rakyat Sarawak. Kita menerima permohonan maaf tersebut dengan hati yang terbuka dan jiwa yang besar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan GPS di sini, hari ini.

Terdahulu, DAP memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Sarawak atas kenyataan-kenyataan yang pernah dibuat parti itu yang menyinggung perasaan.

Anthony Loke berkata permohonan maaf itu dimaklumkan kepada Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menerusi kunjungan hormat.

“Saya berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.