DUN Sarawak: Tapak pasar lama Mukah dicadang sebagai pusat niaga usahawan

Spread the love

KUCHING, 24 Nov: Tapak pasar lama Mukah dicadangkan untuk dibangunkan sebuah pusat niaga untuk usahawan setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata pasar lama yang hangus 20 tahun dahulu merupakan lokasi strategik untuk dibangunkan sebuah bangunan ikonik sebagai ruang ekonomi di Mukah.

“Saya cukup yakin bahawa kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk meneruskan pembangunan di daerah ini melalui Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) mahupun agensi pembangunan yang baru ditubuhkan iaitu Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

“Menerusi kedua-dua agensi ini, lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dapat diwujudkan untuk para lepasan sekolah dan graduan yang belum lagi mendapat kerja meskipun sudah beberapa tahun tamat pengajian,” katanya.

Menurutnya, projek membangunkan tapak niaga secara langsung akan menjadikan landskap pasar lama Mukah lebih menarik dan menjadi tarikan pelancongan baharu sekali gus menjadi pemangkin utama perkembangan mampan sosioekonomi daerah Mukah secara keseluruhannya.

Selain melihat kepentingan pertumbuhan ekonomi di Mukah, Royston turut menekankan aspek pendidikan di mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di daerah itu iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Politeknik dicadangkan untuk menaik taraf tawaran program-program pengajian ke peringkat ijazah.

Ia bertujuan untuk menampung bilangan pelajar diploma yang layak menyambung pengajian sekali gus memperkasakan pendidikan tinggi lebih-lebih lagi di wilayah tengah Sarawak.

Tapak pasar lama Mukah sebagai pusat niaga usahawan

“Pelajar-pelajar yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan tidak perlu berhijrah jauh untuk melanjutkan pelajaran mereka yang sudah pasti akan melibatkan perbelanjaan yang tinggi,” kata Royston.

Royston berkata demikian ketika perbahasan atas bacaan kali kedua Rang Undang-undang Perbekalan 2023 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.