DUN Sarawak: Pembinaan sekolah antarabangsa di Bintulu buka peluang pekerjaan

Spread the love

KUCHING, 23 Nov: Pembinaan sekolah bertaraf antarabangsa di Bintulu bermula 2025 berdasarkan Belanjawan Sarawak 2023 akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, warga pendidik berkelayakan kini menghadapi kesukaran memohon sebagai guru atau tutor di beberapa sekolah dan institusi tempatan atas sebab tertentu.

“Dengan penubuhan institusi pembelajaran dan pusat sumber baharu di Bintulu, peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan.

“Dengan siapnya sekolah ini juga ia akan seiring dengan peningkatan bilangan projek mega yang diluluskan di Bintulu pada masa hadapan,” katanya pada Persidangan Hari Ketiga Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Belanjawan tersebut juga katanya, memberi tumpuan kepada peningkatan budaya, sukan dan pembangunan belia.

“Dengan RM47 juta yang diperuntukkan di dalam belanjawan ini, kita berharap sebahagian daripadanya adalah untuk menaik taraf dan membaik pulih Stadium Bintulu.

“Belia-belia kita yang berbakat tidak dapat menggunakan kemudahan awam untuk menjalankan latihan mereka dan terpaksa membelanjakan wang untuk menyewa kemudahan swasta lain,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.