Sarawak tuntut 10 peratus belanjawan pembangunan daripada Persekutuan

Spread the love

KUCHING, 21 Nov: Kerajaan Persekutuan dituntut memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah belanjawan pembangunan tahunan kepada Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tuntutan itu adalah berdasarkan sumbangan besar Sarawak terhadap pertumbuhan ekonomi negara serta tabung kerajaan Persekutuan dari segi kutipan cukai dan sumber pendapatan lain terutamanya dalam bidang minyak dan gas.

“Saya juga menggesa agar peruntukan ini disalurkan terus ke Akaun Amanah Negeri bagi menyegerakan pelaksanaan projek yang dibiayai persekutuan di negeri ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2023 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata semasa pembentangan Belanjawan Malaysia 2023 baru-baru ini, RM5.4 bilion diumumkan untuk pembangunan di negeri ini.

“Jumlah ini hanya mewakili 5.7 peratus daripada jumlah belanjawan pembangunan Persekutuan RM95 bilion untuk 2023 dan jelas masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan pembangunan dan menangani ketidakseimbangan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Abang Johari juga memaklumkan Sarawak telah mengemukakan formulanya untuk mengkaji semula pemberian khas untuk Sarawak kepada kerajaan Persekutuan.

“Saya mohon kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap cadangan kami atas keadilan dan kesaksamaan kepada negeri ini,” katanya lagi.

Beliau berkata rundingan bagi kelayakan Geran Khas Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan telah diteruskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Bersama di bawah Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selain itu, Abang Johari turut menggesa kerajaan persekutuan baharu agar menyegerakan pembentangan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 (Akta 533) di Parlimen berikutan kelulusan Kabinet Persekutuan supaya Sarawak dan Sabah mempunyai wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri selaras dengan MA63.

“Perwakilan itu perlu dan kritikal untuk memastikan Sarawak menerima bahagian yang sah dalam hasil cukai yang dikembalikan kepada negeri,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.