PRU-15: Datuk galak seluruh keluarga keluar mengundi

Spread the love

BAU, 19 Nov: Seorang datuk berusia 77 tahun menggalakkan seluruh keluarga termasuk cucunya untuk sama-sama turun padang menunaikan tanggungjawab mengundi.

Menurut Jotel Noyel yang telah beberapa kali mengundi sejak sekitar tahun 1950-an, beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik walaupun terpaksa bertongkat atas faktor usia.

“Puji Tuhan, sihat badan pakcik dapat berjalan pergi ke pusat mengundi. (Saya) gembiralah (sebab) anak cucu semua ada kali ini sama-sama keluar mengundi.

“Adalah tanggungjawab generasi berumur menggalakkan golongan belia menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya ditemui selepas seluruh keluarganya selesai mengundi di Sekolah Rendah St. Teresa, Kampung Stenggang, Bau, Parlimen Mas Gading, hari ini.

Pada masa sama, beliau berpendapat bahawa Undi18 dilihat dapat memberi peluang kepada golongan muda untuk terlibat aktif dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara.

“Mungkin selepas ini kita boleh melihat lebih ramai golongan muda menjadi pemimpin, baik di peringkat persekutuan mahu pun negeri,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau berharap lebih ramai golongan muda untuk memainkan peranan mereka dalam menentukan pucuk pimpinan negara.

Menurutnya, golongan muda mempunyai kapasiti penilaian yang baik dalam membuat pilihan calon bersesuaian untuk memimpin negara dengan baik.

Kerusi Parlimen Mas Gading menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK). – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.