Warga emas maut, kereta langgar pokok

Spread the love

SIBU, 18 Nov: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta yang dipandu melanggar pokok di tepi Jalan Bawang Assan, Kampung Bukit Bedai di sini, hari ini.

Mangsa, Ahjon Sumbang @ Aju Sumbang,70, disahkan telah meninggal dunia oleh pihak paramedik Hospital Sibu di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelemat Sungai Merah, TPgB II Mutalif Ja’afar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.35 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan seorang mangsa lelaki tersepit di tempat duduk pemandu dan tidak sedarkan diri dalam kereta jenis Perodua Kenari,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

“Pasukan bomba kemudian, bertindak menggunakan ‘spinal board’ dalam usaha kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tidak sedarkan diri,” katanya.

Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 8.12 pagi dan diberi rawatan awal oleh Unit EMRS sementara menunggu ketibaan pihak paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata Mutalif.

Difahamkan seramai 10 anggota Bomba terlibat dalam operasi tersebut serta dilaporkan tamat pada jam 9.00 pagi. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.