PRU-15: Rakyat Julau rasai tempias pembangunan

Spread the love

JULAU, 18 Nov: Daerah Julau khususnya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan turut menerima tempias pembangunan hasil inisiatif kerajaan mempelbagaikan pendapatan yang diilhamkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.48 Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, pelaksanaan projek pembangunan di bawah langkah strategik kerajaan itu memberi manfaat amat besar kepada rakyat kawasan tersebut.

“Antaranya jalan raya, grid elektrik dan sistem telekomunikasi yang kini dinikmati oleh penduduk Meluan.Kita dapat melihat sekarang kawasan DUN Meluan, semua rumah panjang dilangkapi dengan grid elektrik yang menelan belanja RM75 juta. Selain itu, rumah panjang yang belum mempunyai jalan raya, saya sebagai wakil rakyat berusaha untuk menunaikannya.

“Saya juga menempatkan Program Skim Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) yang menelan belanja RM21 juta, sehingga sekarang semua rumah panjang mempunyai lampu dan bercahaya,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pekan Julau semalam.

Beliau berkata, Parlimen Julau yang meliputi DUN Meluan dan Pakan bakal menikmati lebih banyak pembangunan kerana kawasan itu berada dalam lingkungan seliaan Agensi Pembangunan Delta Rajang.

Malah, beliau berkata, usaha itu juga membolehkan mereka melaksanakan pembangunan mengikut acuan sendiri yang sesuai dengan aspirasi rakyat di kawasan masing-masing.

“Daerah Julau masih lagi menginginkan pembangunan. Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih di atas penubuhan Agensi Pembangunan Delta Rajang yang termasuk dalam  kawasan kita di Julau. Inisiatif yang telah diwujudkan akan dapat merancakkan pembangunan kita di Julau sama seperti kehendak rakyat Julau,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Julau bersatu hati menyokong perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan agenda pembangunan yang dirancang oleh kerajaan dapat diteruskan.

Malah, beliau berkata, pembangunan yang lebih teratur dapat diwujudkan melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan persekutuan apatah lagi jika ahli parlimen diwakili GPS. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.