PRU-15: Perjuangan Nancy, bayangan bapanya T.K Cikgu Syukor Mahidi – warga Santubong

Spread the love

KUCHING, 18 Nov: Perjuangan Dato’ Sri Nancy Shukri dianggap sebagai bayangan kepada bapanya, Allahyarham Tua Kampung (T.K) Cikgu Syukor Mahidi oleh warga Parlimen Santubong.

Pendapat itu diluahkan oleh beberapa warga emas di Kampung Salak yang ditemui calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di sini, hari ini.

Menurut penduduk di kampung berkenaan yang mengenali peribadi bapa Nancy sebagai ketua kampung yang banyak menabur jasa dan bakti kepada penduduk di Santubong terutama dalam bidang pendidikan.

Selain itu, ada dalam kalangan mereka mengakui usaha Nancy sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya adalah sama seperti usaha bapanya yang mengangkat seni warisan budaya negeri dan negara ke peringkat yang lebih tinggi hingga ke persada antarabangsa.

Menurut Rahim Sahari, 60, kisah bapa Nancy sering diceritakan oleh warga emas di kampungnya sehingga ke hari ini.

“Allahyarham masih dikenang kerana beliau merupakan cikgu yang paling terkenal hingga dikenali oleh penduduk di Rambungan,” katanya.

Perkara sama diakui oleh Sulaiman Gonjing sambil menzahirkan kegembiraan kerana Nancy menjadi calon GPS yang bakal menggantikan mantan Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai wakil rakyat di sini.

“Alhamdulillah, saya berharap Dato’ Sri Nancy akan mendapat kemenangan besar esok hari kerana kita mahu suara Sarawak lebih kuat di Parlimen,” ujarnya sambil berharap Nancy akan menyambung legasi pembangunan seperti yang diperjuangkan oleh bapanya terdahulu serta perancangan yang telah disusun atur oleh Wan Junaidi sebelum ini.

Hadir sama, Pengarah Operasi PRU-15 Parlimen Santubong, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang juga Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti).

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.