PRU-15: Pemilih di Sarawak digalak keluar mengundi sebelah pagi

Spread the love

KUCHING, 18 Nov: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca pada sebelah pagi pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Sarawak esok adalah baik.

Pengarah Pejabat Meteorologi Sarawak, Khairul Najib Ibrahim mengesyorkan pemilih-pemilih di Sarawak untuk membuang undi pada sebelah pagi, sebaliknya ekoran ramalan cuaca pada sebelah petang adalah dijangka  hujan dan ribut petir di sesetengah kawasan.

“Kita menjangkakan cuaca mungkin sedikit berawan dan mendung tetapi tiada yang signifikan. Cuma sebelah petang jangkaan adalah sedikit hujan.

“Langkah yang terbaik adalah keluar mengundi pada sebelah pagi untuk mengelak cuaca buruk di sebelah petang,” katanya ketika ditemui dalam program bual bicara Sejahtera Asia, terbitan TVS.

Meskipun begitu, antara kawasan yang dikhuatiri hujan ialah kawasan berdekatan pantai seperti Mukah dan Bintulu akan menerima hujan yang agak banyak.

MetMalaysia hari ini juga katanya, telah mengeluarkan amaran peringkat kuning sejak semalam di Miri, Limbang dan sebahagian kawasan di Kapit namun dijangka akan berakhir pada lewat malam ini.

“Mengikut keadaan semasa, berkemungkinan besar di bahagian Miri, Limbang dan sebahagian kawasan di Kapit akan banjir kerana kita dapati cuaca banyak tertumpu di kawasan-kawasan tersebut,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru kepada masyarakat untuk terus peka dengan cuaca semasa bagi memastikan keselamatan mereka terjamin sepanjang hari mengundi berlangsung.

Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua laman media social serta memuat naik aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.