PRU-15: Isu kos sara hidup mampu raih undi masyarakat

Spread the love

KUCHING, 18 Nov: Tawaran solusi bagi isu berkaitan kos sara hidup dari sesebuah parti boleh beri impak kepada pengundi, terutama sekali pengundi atas pagar.

Menurut Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Dr Sivamurugan Pandian, hal ini kerana isu tersebut merupakan perkara yang menjadi keutamaan semua pengundi.

“Kos sara hidup telah menjadi keutamaan semua kajian sikap dalam kalangan pengundi dan saya percaya, pihak kerajaan negeri dan pihak Persekutuan harus melihat ini semula selepas membentuk kerajaan bagi membuat pilihan terbaik,” kata Sivamurugan.

Beliau menjelaskan, ;ketika ini rakyat percaya melalui pilihan mereka, ia mampu memberi perubahan serta menambah baik kesejahteraan kehidupan mereka.

Beliau berkata demikian dalam rancangan bual bicara terbitan TVS, Malaysia Decides, di sini, hari ini.

Beliau menambah, isu tersebut dirasai oleh semua golongan masyarakat apabila kos sara hidup dilihat kian meningkat.

“Kalau saya jadi calon, saya akan memperjuangkan hak-hak tentang kos sara hidup yang perlu menjadi keutamaan berbanding agenda lain yang hanya agenda sampingan.

“Saya percaya, mana-mana parti yang boleh memberikan tawaran ke atas bagaimana hendak menangani sara hidup serta melakukan strategi intervensi ke atas soal kos sara hidup, mereka mungkin akan mendapat perhatian daripada pengundi atas pagar, golongan B40 serta M40,” katanya.

Selain itu, Sivamurugan berkata isu yang diutarakan oleh sesetengah parti mampu mempengaruhi pemilihan pengundi, terutama sekali bagi pengundi atas pagar.

Hal ini kerana pengundi atas pagar, yang terdiri daripada 30 hingga 38 peratus golongan pengundi mengikut kajian USM, kata beliau mempunyai literasi politik yang lebih tinggi akibat penggunaan media sosial yang digunakan untuk menyalurkan dan menyampaikan mesej dan maklumat. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.