PRU-15: Ismail Sabri harap proses pengundian lancar, tiada provokasi

Spread the love

BERA, 18 Nov: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) esok, berjalan lancar tanpa sebarang provokasi atau kejadian tidak diingini.

Beliau yang juga penyandang Parlimen Bera berharap momentum keharmonian sepanjang tempoh berkempen yang menyaksikan tiada kejadian kekecohan besar berlaku, berkekalan sehingga tamat proses pengumuman keputusan dan pasca pilihan raya.

Ismail Sabri juga berharap semua pihak termasuk penyokong parti untuk menerima apa juga keputusan PRU-15 yang akan diumumkan esok.

“Kita terimalah (keputusan PRU-15) dengan semangat tinggi tanpa menimbulkan kekecohan… terima keputusan rakyat dengan hati terbuka.

Kita tidak mahu macam dulu yang mana orang berarak pakai baju hitam selain mengeluarkan pelbagai tuduhan hingga mencetuskan provokasi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Penduduk di Bandar 32 di sini hari ini.

Ismail Sabri juga menasihatkan pengundi yang pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab itu supaya berhati-hati dalam perjalanan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.