Pengundi luar bandar masih berpengaruh – Awang Azman

Spread the love

KUCHING, 18 Nov: Pengundi luar bandar masih dianggap sebagai ’emas’ bagi sesetengah parti politik di Malaysia kerana boleh menjadi penentu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Felo Penyelidik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, walaupun berlaku perubahan dari segi teknologi, pembangunan dan pendidikan pada masa kini, namun ia dilihat lebih memberi impak yang positif kepada penduduk luar bandar.

“Saya kira kelompok pengundi luar bandar bukan sahaja dianggap lubuk emas, tetapi mereka juga dianggap sebagai deposit tetap kepada parti politik tertentu.

“Namun demikian, kita lihat evolusi perubahan yang telah berlaku dalam beberapa tahun ini tidak semestinya membawa kepada unsur yang negatif tetapi juga dapat memberikan unsur yang lebih baik,” katanya dalam rancangan bual bicara Malaysia Decides terbitan TVS, di sini, hari ini.

Menurut Awang Azman, dari sudut perkembangan teknologi, ia memberikan pelbagai pilihan dan kebebasan kepada orang ramai mendapatkan berita terkini terutamanya melalui portal-portal berita mahupun melalui media sosial seperti Youtube dan Facebook.

Sementara itu, beliau menambah, walaupun Sarawak hanya ada 31 kerusi parlimen, namun ia dapat memberikan makna yang begitu besar kepada pembentukan kerajaan dan landskap politik negara.

“Dalam konteks Sarawak, saya kira pengundi di sini perlu fokus kepada apa yang mereka mahu untuk Sarawak, sama ada mereka selesa dengan keadaan pemerintahan pada masa kini, dalam usaha untuk menjadi lebih baik ataupun sebaliknya,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai untuk menilai, menghayati dan membandingkan manifesto parti-parti yang bertanding serta membuat pilihan yang tepat dan bijaksana bagi memastikan kerajaan baharu nanti adalah lebih baik dan stabil. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.