Kerajaan terus bantu golongan muda, M40, dan B40 miliki rumah

Spread the love

KABONG, 18 Nov: Kerajaan Sarawak akan terus membantu hasrat pemilikan rumah untuk golongan M40, dan B40 serta golongan muda berpendapatan rendah serta sederhana di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan deposit sebanyak RM 10,000 akan dibiayai oleh kerajaan negeri dan pembeli rumah hanya perlu membayar bulanan pembiayaan rumah sahaja.

“Jadi untuk membantu rakyat khususnya golongan B40, M40, nelayan, petani dan orang muda, kerajaan akan membayar deposit RM10,00 untuk pembelian rumah mampu milik, dengan itu golongan ini dapat memiliki rumah dan hanya perlu bayar bulanan pembiayaan rumah sahaja”, ujarnya.

Tambah Abang Johari, bantuan deposit tersebut akan diuruskan oleh Mutiara Mortgage And Credit Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC).

Menurutnya pembeli juga boleh membuat pinjaman melalui Mutiara Mortage dengan kadar faedah hanya satu peratus.

“Katakan harga rumah RM150,000 anda pinjam RM140,000, kadar faedahnya baru satu peratus sahaja. Kalau rebat sampai enam peratus. Ini bermakna bayaran bulanannya hanya sekitar RM200 atau RM250 sahaja.”

“Ini dapat membantu masyarakat kita di Sarawak membeli rumah dan ini adalah keutamaan kita kepada rakyat,” katanya lagi.

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak akan menambah lagi peruntukan untuk skim itu pada masa hadapan berdasarkan jumlah permohonan yang diterima.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Penjaja Kabong pada Jumaat. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.