Getaran Jiwa: Ayat al-Quran, penenang saya sebelum membuat persembahan – Zarul Umbrella

Spread the love

KUCHING, 18 Nov: Mendengar ayat-ayat suci al-Quran membantu menenangkan diri sebelum membuat persembahan di atas pentas, kata Zarul Umbrella.

Nasihat sedemikian dicadangkan oleh Zarul yang juga merupakan juri jemputan Getaran Jiwa pada minggu ini kepada para peserta yang akan bertanding malam nanti.

“Rasa gugup itu adalah satu perasaan yang semula jadi bagi setiap manusia bagi mengatasinya saya selalu akan mendengar ayat-ayat suci al-Quran sebelum saya membuat persembahan di atas pentas kerana ia membantu saya untuk menenangkan diri,” katanya apabila ditemui oleh TVS di Stadium MBKS, Bintawa di sini, hari ini.

Sementara, disoal pemberita mengenai apakah kriteria yang mahu dicari oleh Zarul dalam setiap peserta beliau mahu melihat mereka lahir sebagai seorang penyanyi yang asli dan bukannya meniru gaya nyanyian P. Ramlee.

“Sudah tentu saya mahu mencari kelainan walaupun program ini ditujukan khas kepada Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,” tegasnya.

Menurut beliau, program Getaran Jiwa merupakan satu penghargaan yang tinggi kepada Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma.

“Kita seharusnya bangga kerana kita mempunyai seorang seniman agung seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dikenali bukan hanya di Malaysia namun hasil seninya turut terkenal di seluruh Asia,” ujarnya sambil berharap program seperti Getaran Jiwa diteruskan selepas ini.

Getaran Jiwa berlangsung di Stadium MBKS Bintawa pada setiap Jumaat, jam 8:45 malam dan bersiaran secara langsung di TVS saluran 122 Astro dan MYTV.

Penonton juga boleh menyaksikan program ini secara langsung di Stadium MBKS, Bintawa dan pintu akan dibuka seawal jam 7:00 malam. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.