UNIFOR berperanan penting membina dan membaik pulih rumah ibadat usang

Spread the love

KUCHING, 17 Nov: Dahulu sering ada aduan tentang rumah ibadat usang, tetapi kini ia tinggal sejarah susulan peranan aktif dilaksanakan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Jabatan Premier Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang berkata demikian menambah, kerajaan Sarawak sudah memperuntukkan RM320 juta untuk projek-projek membina dan menaik taraf rumah ibadat.

“Sebelum penubuhan UNIFOR tiada badan, jabatan atau agensi yang menjaga keperluan dan kebajikan pertubuhan-pertubuhan ini.

“Kita mendengar banyak aduan bahawa rumah-rumah ibadat kita dalam keadaan usang iaitu ada atap tapi tiada dinding, ada tiang tapi tiada bumbung, ada bumbung pun bocor.

“Namun kini ia tinggal sejarah kerana kita ada UNIFOR yang mampu mengubah landskap dan menaik taraf pelbagai rumah ibadat yang usang di Sarawak, “ katanya berucap pada Majlis Apresiasi UNIFOR Bahagian Kuching di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep,  Timbalan Menteri Pengangkutan I (Penerbangan dan Jalan Raya), Datuk Dr. Jerip Susil.

Uggah, menteri bertanggungjawab terhadap UNIFOR menjelaskan lagi, RM320 juta itu merangkumi RM215 juta yang disalurkan untuk membangunkan pelbagai rumah ibadat dari 2017 hingga 2022, kira-kira RM 30 juta digunakan untuk memperbaiki keadaan sekolah mubaligh pada 2021 dan 2022 manakala selebihnya diluluskan di bawah projek rakyat dari 2017 hingga 2022.

Menurutnya, RM255 juta telah diperuntukkan kepada UNIFOR sejak 2017 bagi melaksanakan peranan UNIFOR yang ditubuhkan pada 2017.

Abang Johari baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk UNIFOR pada 2023. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.