‘Tidak mengundi, tidak tunai tanggungjawab kepada negara’ – Ahli akademik

Spread the love

KOTA SAMARAHAN, 17 Nov: Pengundi khususnya golongan muda diseru untuk menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr. Lucy Sebli Seidelson berkata, sekiranya rakyat tidak mengundi ini bermakna mereka tidak menjalankan tanggungjawab kepada negara. 

“Pengundi muda khususnya tolong keluar mengundi dan jalankan tanggungjawab anda, kerana ini adalah hak kita sebagai rakyat untuk memilih,” katanya pada sesi temu bual eksklusif bersama Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Unimas, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, golongan muda juga jangan menafikan hak mereka untuk mengundi kerana PRU-15 melibatkan pelaksanaan Undi 18 termasuk mereka yang pertama kali mengundi kali ini. 

“Ini kerana, apabila kita tidak mengundi mungkin orang yang kita tidak sokong dilantik menjadi pemimpin. 

“Perkara ini yang menyebabkan banyak kompelin berlaku dan sebagainya. Bayangkan dalam tempoh lima tahun sebelum pilihan raya seterusnya dilaksanakan kita terpaksa menjadi pembangkang, ini tiada guna dan membuang masa,” tegasnya. 

Dalam hal berkaitan, beliau menjelaskan perkara terbaik untuk memastikan perubahan berlaku adalah dengan mengundi. 

“Sesuatu perkara tidak akan berubah sekiranya kita tidak membuat apa-apa tindakan, dan langkah pertama untuk melakukan perubahan adalah keluar mengundi. 

“Pilihlah wakil rakyat yang boleh membawa lepada pembagunan dan yang dapat menjaga kepentingan di kawasan kita,” ujarnya lagi. 

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai yang ingin balik mengundi pada hujung minggu ini untuk berhati-hati lebih-lebih lagi kepada sesiapa yang memandu. 

“Utamakan keselamatan, walaupun jalan raya kita sudah dalam keadaan baik tetapi faktor cuaca hujan agak membimbangkan. Semoga perjalanan pergi dan balik kita selamat,” katanya. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai tarikh mengundi. 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.