SIDC, inisiatif berani Sarawak untuk cemerlang dalam penyelidikan perubatan

Spread the love

KUCHING, 17 Nov: Setelah mengukir pencapaian luar biasa dalam mengurus serta menangani wabak rabies dan COVID-19, Sarawak mengambil satu lagi inisiatif jangka panjang dengan menubuhkan pusat penyelidikan perubatannya sendiri dikenali Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC).

Terletak berhampiran Pusat Jantung Sarawak di Samarahan, kira-kira 15 kilometer (km) dari pusat bandar raya, SIDC dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Disember 2024 yang bertujuan memberi impak dalam penyelidikan bioperubatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIDC Dr Ivan Yap Kok Seng, kerja-kerja pembinaan di atas tapak seluas 1.54 hektar itu lebih awal daripada jadual dan pasukannya berusaha keras untuk memastikan semua aktiviti serta sumber telah bersedia mengikut tempoh ditetapkan dalam kontrak.

“Sukacita diumumkan, kita 11 peratus lebih awal dari tempoh ditetapkan ketika ini, dan persediaan giat dilakukan bagi mengekalkan momentum. Kita mendapat sokongan daripada Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) dan kerajaan negeri untuk memastikan kita mempunyai sumber mencukupi untuk meneruskannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Projek bernilai RM200 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri Sarawak itu menyaksikan SIDC dilengkapi dengan kemudahan seperti makmal biokeselematan dan katil rawatan, selain menjalinkan kerjasama dengan institusi tempatan serta antarabangsa untuk membangunkan vaksin, ubat terapeutik dan rawatan.

SIDC, satu daripada anak syarikat SRDC akan melengkapkan dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam mengatasi penyakit berjangkit.

Berbaki dua tahun sebelum tarikh akhir, Dr Yap yang juga Timbalan Pengurus Besar SRDC berkata, komunikasi dan pertemuan dengan kontraktor serta perunding dari semasa ke semasa adalah penting bagi memastikan semua pihak terlibat menjalankan tugas dengan baik.

“Seminggu sekali kami akan meninjau perkembangan pembinaan kerana mengikut garis masa kami, blok pentadbiran sepatutnya siap pada September 2024 dan tempoh kira-kira tiga bulan pula untuk makmal teras mula beroperasi,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar SRDC Dr Peter Morin Nisson berkata SIDC dijangka dapat menarik bakat penyelidikan serantau dan antarabangsa, sambil menarik syarikat bioperubatan global untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan negeri itu dalam menghadapai cabaran perubatan pada masa depan.

Beliau berkata SRDC telah memulakan inisiatif pembangunan modal insan dengan mengenal pasti bakal penyelidik Sarawak dan Malaysia yang boleh menyumbang kepakaran mereka kepada pusat itu apabila semua kemudahan beroperasi.

Mengakui bahawa mendapatkan tenaga kerja yang sesuai adalah satu daripada cabaran utama mereka untuk memenuhi keperluan sumber manusia SIDC, Dr Morin berkata pihaknya sudah mula mengenal pasti penyelidik dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya berasal dari Sarawak, yang berada di dalam atau luar negara untuk berkhidmat di pusat itu.

“Kita mahu membentuk ekosistem (penyelidikan dan pembangunan) yang akan membantu kepulangan mereka (berkhidmat di negeri dan pusat itu) dan oleh sebab itu kita perlu meyakinkan serta menunjukkan kepada mereka (misi) SIDC boleh dicapai,” katanya, sambil menambah penyelidik luar juga akan dikenal pasti untuk menyertai pusat berkenaan.

Beliau berkata SRDC turut menjalankan program latihan dengan institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa sebagai pendekatan kerjasama ke arah pembinaan kapasiti SIDC bermula dengan Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak.

“Peringkat global, kami telah menjalin kerjasama dengan United States National Institute of Allergy and Infectious Diseases (NIAID), Imperial College London, Swiss Tropical and Public Health Institute and Oxford University. Ini menunjukkan kita sedang dikenali (seluruh dunia),” katanya.

Melalui dasar yang konsisten dilaksanakan oleh kerajaan negeri, Dr Morin berkata beliau yakin projek SIDC bakal meletakkan Sarawak secara strategik dalam peta penemuan dan kemajuan perubatan global. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.