PRU-15: SPR sedia memastikan mengundi turun pada Sabtu ini meskipun banjir

Spread the love

LIMBANG, 17 Nov: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) untuk membolehkan orang ramai turun mengundi, meskipun beberapa kawasan di sini terputus hubungan akibat banjir.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah berkata terdapat beberapa kawasan rumah panjang dan kampung selain laluan utama di kawasan tersebut dinaiki air.

Hasbi yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Limbang memberitahu hujan lebat berlaku dua hari lalu menyebabkan kawasan rendah di Hulu Medamit dinaiki air.

Katanya situasi banjir tidak seharusnya menjejaskan para pengundi menunaikan tanggungjawab melalui pemantauan dan persiapan rapi SPR dan agensi keselamatan lain.

“Memang kita dapat lihat banyak kawasan terutama di pedalaman terputus hubungan akibat banjir.

“Ini hanya sementara dan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita tidak keluar mengundi,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sama Peduli Belia Cemerlang Anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di Dewan Bunga Raya pada hari ini.

Turut sama hadir, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Jelas Hasbi peranan dan persiapan rapi SPR penting dalam memastikan proses pengundian Sabtu ini berjalan lancar jika berlaku banjir.

“Saya yakin SPR bersedia untuk menghadapi apa keadaan cuaca dan sebagainya,” katanya.– TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.