PRU-15: Jalankan amanah sebaik mungkin, jangan khianati pengundi, pesan Premier kepada wakil rakyat

Spread the love

KUCHING, 17 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu wakil rakyat menjalankan amanah sebaik mungkin dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Menurutnya lagi, mandat yang diberikan rakyat menerusi pilihan raya wajar digalas sebaik mungkin demi pembangunan negara, malah tidak melompat parti demi kepentingan sendiri.

“Pengundi mengharapkan kita tidak akan mengkhianati mereka. Mereka marah disebabkan ada unsur lompat parti. Mereka tidak puas hati kerana mereka undi lain, namun wakil rakyat melompat parti dan menjadi katak.

“Hal ini akan menimbulkan keresahan dalam kalangan pengundi dan hilang keyakinan kepada calon itu,” beliau berkata demikian di dalam program wawancara ‘UntukMu Malaysia’ terbitan RTM di Auditorium P.Ramlee sini pada Rabu malam.

Pada masa sama, beliau turut menghargai peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana merealisasikan undang-undang lompat parti.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bakal membentangkan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti bagi membendung ahli-ahli parti politik ‘melompat’ sesuka hati,” tegasnya lagi.

Menurut beliau, pembentangan akan dilaksanakan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan bermula 21 November ini. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.