Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei bakal kembali

Spread the love

SARIKEI, 17 Nov: Acara terbesar bahagian Sarikei, Pesta Nanas dan Buah-Buahan bakal kembali dengan pelbagai pengisian aktiviti lebih menarik melalui penganjuran selama sembilan hari bermula 26 November ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, penganjur menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung bagi pesta yang kini memasuki edisi yang ke-17 itu.

Penganjuran pesta diterajui oleh Pejabat Residen Sarikei dengan kerjasama strategik bersama jabatan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta di bahagian Sarikei.

“Ini merupakan program yang telah tertangguh selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 dan salah satu matlamat utamanya ialah mempromosikan produk pertanian di bahagian Sarikei. Dengan kata lain, program yang ada di Sarikei kali ini merupakan yang terakhir daripada beberapa siri pesta yang kita adakan di bahagian ini sebelum ini,” katanya pada sidang media Pesta Nanas Sarikei 2022, di Pejabat Residen Sarikei semalam.

Beliau berkata, pesta kali ini terbahagi kepada enam komponen utama iaitu, produk dan perkhidmatan, keusahawanan dan perdagangan, pendidikan, pertandingan, malam kebudayaan, sukan serta rekreasi.

Sehubungan itu katanya, jawatankuasa induk menetapkan sasaran jualan sebanyak RM2 juta berdasarkan respon baik daripada pengunjung dalam pesta berkenaan sebelum ini.

“Penganjuran Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei diharap dapat menjadikan Bahagian Sarikei sebagai pusat pengeluar makanan Sarawak. Ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan bahagian Sarikei sebagai pusat agropolis wilayah zon tengah dan destinasi pilihan agro pelancongan,” katanya lagi.

Beliau berkata, objektif pesta ialah mempromosikan bahagian Sarikei sebagai destinasi agro pelancongan yang kaya dengan hasil pertanian, memantapkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.