Pendidikan universiti percuma untuk anak Sarawak menjelang 2030

Spread the love

KUCHING, 16 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhasrat menyediakan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi bagi membantu rakyat Sarawak yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, untuk merealisasikan rancangan itu kerajaan Sarawak perlu menjana pendapatan yang tinggi menerusi pelbagai strategi termasuk mewujudkan dana kekayaan berdaulat setelah ia diluluskan di Dewan Undangan Negeri.

“Ini akan menjadi satu pelaburan untuk masa hadapan dan kalau kita mempunyai pendapatan yang agak baik maka kita gunakan ini untuk menjalankan pengurusan universiti-universiti swasta,” katanya menerusi program wawancara ‘UntukMu Malaysia’ terbitan RTM di Auditorium P.Ramlee sini, pada Rabu.

Jelasnya, universiti-universiti swasta ini akan menerima suntikan dana daripada kerajaan Sarawak untuk membolehkan pihak pengurusan universiti memberi pengajian percuma kepada anak Sarawak.

Beliau berharap rancangan ini dapat dilaksanakan sebelum tahun 2030.

Universiti-universiti swasta ini merangkumi Universiti Teknologi Curtin, Kampus Sarawak di Miri; Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak di Kuching; Universiti Teknologi Sarawak di Sibu; dan Pusat Pasca Siswazah di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak di Kuching.

Abang Johari berkata, setakat ini kerajaan Sarawak menawarkan biasiswa dan juga pinjaman melalui Yayasan Sarawak.

Pada masa sama, Abang Johari turut mendedahkan bahawa kerajaan Sarawak membelanjakan sebanyak RM 6.7 bilion untuk meringankan beban rakyat ketika dilanda pandemik COVID-19 sejak 2020 hingga kini.

“Usaha Sarawak  menuntut kembali hak ke atas sumber minyak dan gasnya mencapai kejayaan apabila Petronas menyerahkan cek bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) kepada kerajaan negeri,”

“Daripada cukai itu, banyak projek pembangunan demi kepentingan dan ksejahteraan rakyat dapat dilaksanakan di negeri ini, termasuklah pemberian vaksin secara besar-besaran di seluruh negeri,” dedah beliau.

Tambahnya lagi, Mahkamah Tinggi Kuching pada 2020 memutuskan Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas  produk petroleum  dari di negeri ini. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.