Kedai dobi kena serbu sepanjang kempen PRU

Spread the love

BUKIT MERTAJAM, 17 Nov: Pengusaha kedai mencuci pakaian di bandar ini tidak menang tangan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) apabila premis mereka mencatatkan peningkatan pelanggan.

Pengusaha dobi, Cik Syafawati Che Radzi, 43, berkata, jumlah pakaian yang diterimanya untuk dicuci meningkat hampir sekali ganda sejak hari penamaan calon pada 5 November lepas berbanding hari biasa.

Ujarnya, ia berikutan peningkatan kehadiran orang luar dan jentera parti politik ke kawasan ini yang terlibat dengan kempen PRU-15.

“Kebiasaannya, saya terima kira-kira 150 kilogram (kg) pakaian setiap hari untuk dicuci tetapi sejak minggu lepas, ia meningkat kepada 250 kg sehari.

“Empat pekerja terpaksa menggandakan tenaga supaya semua pelanggan menerima pakaian yang siap dicuci dan digosok pada waktu ditetapkan,” katanya ketika ditemui TVS di Seberang Jaya di sini.

Ujar Cik Syafawati, peningkatan itu dilihat sebagai rezeki kepada perusahaannya apabila menjana peningkatan pendapatan kira-kira 60 peratus.

“Selalunya memang banyak (pakaian), tapi semasa PRU-15 ini lagi banyak sebab ramai pelanggan luar.

“Baju-baju yang dihantar terdiri daripada (logo) pelbagai parti politik iaitu kemeja-T, baju korporat dan pakaian biasa,” katanya lagi.

Tambah Cik Syafawati, kedai dobinya menggunakan lima buah mesin basuh dan pengering bagi menawarkan perkhidmatan itu. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.