Jersi baharu Harimau Malaya bertema ‘Demi Lencana Di Dada’

Spread the love

PETALING JAYA, 17 Nov: ‘Demi Lencana Di Dada’ menjadi tema jersi baharu pasukan bola sepak kebangsaan musim 2022-2024 yang dilancarkan Nike Malaysia hari ini kira-kira sebulan sebelum kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dijadual bermula pada 20 Dis ini.

Jersi utama atau home, kekal menggunakan warna kuning sebagai warna dominan dengan hanya bahagian kolar berwarna hitam manakala jersi kedua atau away juga mengekalkan warna hitam sebagai warna utama di samping memiliki corak belang Harimau Malaya.

Tiga pemain negara iaitu Ahmad Khuzaimi Piee, V. Ruventhiran dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed masing-masing kelihatan segak menggayakan ketiga-tiga rekaan baharu jersi pasukan negara termasuk set penjaga gol pada majlis pelancaran di sini.

Majlis tersebut disempurnakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Pengarah Pemasaran Nike Asia Tenggara dan India, Chris Madsen.

“Jersi home kali ini tampil lebih unik sebenarnya apabila keseluruhan jersi berwarna kuning dan hanya di bahagian kolar bulatnya sahaja berwarna hitam.

“Inilah sebenarnya naratif yang cuba disampaikan iaitu segala fokus pada jersi home kali ini bukan kepada corak atau reka bentuknya tetapi tertumpu kepada sifat eksklusif logo FAM itu sendiri untuk membawa mesej mereka (pemain) bermain ‘Demi Lencana Di Dada’,” kata Hamidin.

Beliau berharap jersi baharu itu dapat memberikan semangat kepada para pemain negara ketika beraksi di kejohanan Piala AFF akan datang dan pertandingan berprestij, Piala Asia 2023 di Qatar.

Jersi baharu itu turut akan digunakan kesemua pasukan kebangsaan yang lain termasuk skuad wanita, remaja, futsal dan bola sepak pantai.

Sementara itu, Madsen berkata: Untuk jersi edisi 2022-2024 ini, kami mengekalkan penggunaan dua warna simbolik Harimau Malaya iaitu hitam dan kuning kerana kedua-dua warna itu bukan warna biasa. Ia adalah warna jiwa untuk pahlawan-pahlawan Harimau Malaya.” – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.