Berek guru terbakar, 2 penghuni terselamat

Spread the love

SIBU, 17 Nov: Sebuah kuarters guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tajam, Setapang, Selangau musnah dalam kebakaran lewat malam pada Rabu.

Dua penghuni berusia dalam lingkungan 30-an dan 50-an dilaporkan berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi penghuni tiada di rumah dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan 1, Janggan Muling berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 11.52 malam.

“Pihak kami dimaklumkan kebakaran tersebut melibatkan kuarters guru, dua pintu jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian pada jam 12.47 pagi, pasukan bomba mendapati api telah memusnahkan kuarters tersebut.

“Pasukan pemadam telah bertindak membawa pam angkut ke tebing sungai untuk mendapatkan sumber air bagi meneruskan operasi pemadaman kerana tiada pili bomba di tempat kejadian,” jelasnya.

Menurutnya api berjaya terkawal pada jam 12.51 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Katanya, kerja-kerja pembersihan dilakukan untuk memastikan keadaan sekeliling di tempat kejadian benar-benar selamat.

Operasi pemadaman ditamatkan pada jam 1.40 pagi

Seramai tujuh anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK II) Abdul Malik Chi terlibat dalam operasi tersebut. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.