Bantuan kepada rakyat Sarawak berpaksi prinsip ‘tiada siapa yang akan tertinggal’

Spread the love

DEBAK, 17 Nov: Prinsip ‘tiada siapa yang akan tertinggal’ merupakan panduan kerajaan Sarawak dalam menyediakan bantuan kepada rakyat.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam berkata inisiatif kesejahteraan komuniti merupakan satu agenda kerajaan negeri bagi mencapai inklusiviti sosial di Sarawak.

Menurut beliau setiap rakyat Sarawak mesti dibantu supaya dapat menjalankan fungsi sosialnya dalam komuniti.

“Jika setiap rakyat kita sihat dan sejahtera, mereka akan mampu menyumbang kepada keluarga dan pembangunan ekonomi Sarawak,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu berkata demikian pada Majlis Pembangunan Sosial Sarawak di KPWK dengan kerjasama Pejabat Daerah Betong, Pejabat Daerah Kecil Spaoh di sini, pada Rabu.

Antara inisiatif melestarikan masyarakat di Spaoh kata Mohammad Razi, Randau Kesejahteraan Komuniti (RKK) anjuran kementeriannya membawakan 10 agensi berkaitan di lapangan.

Beliau mendedahkan agensi-agensi terlibat merupakan rakan strategik program RKK ialah IPD PDRM Betong, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Betong, Majlis Daerah Betong, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sarawak, Sarawak Energy Berhad (SEB)/SESCO dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak

“Program RKK menjadi platfrom warga Spaoh untuk mendapat maklumat terkini mengenai bantuan dan perkhidmatan kerajaan,” ujarnya.

Selain itu kata beliau, program RKK ini bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan khidmat nasihat atau rujukan intervansi.

“Antara isu-isu yang boleh dirujuk melalui program RKK di sini adalah seperti kebajikan, jenayah, hartanah, penagihan, kesihatan fizikal dan mental, perkahwinan dan perceraian, kewarganegaraan, latihan kemahiran serta pendidikan,” jelasnya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.